Thursday 5 October 2017

PENGEDAR SHAKLEE BINTULU : PEMAKANAN UNTUK KERADANGAN SENDI (ARTHRITIS)

Assalamualaikum dan selamat pagi..jom baca hasil tulisan Dr Norman tentang pemakanan yang sesuai untuk masalah keradangan sendi...

Masalah keradangan sendi sering berlaku dalam masyarakat kita. Pelbagai punca penyakit ini berlaku diantaranya akibat masalah rheumatoid, psoriasis, gout dan yang paling biasa adalah ‘osteoarthritis’ atau kereputan sendi akibat proses penuaan. Disamping mengambil ubat-ubatan biasa yang diberi oleh doktor kita juga boleh mengurangkan gejala sakit sendi ini dengan mengambil beberapa jenis pemakanan yang khusus.

Secara umumnya keradangan sendi adalah berpunca daripada masalah keradangan atau inflammasi oleh itu makanan yang mempunyai sifat anti inflammasi adalah sangat baik untuk mengawal keradangan sendi.

Pemakanan yang boleh menyebabkan masalah keradangan sendi bertambah adalah makanan proses yang tinggi dengan gula, karbohidrat halus dan lemak trans. Makanan yang mengurangkan keradangan sendi adalah makanan asli yang tinggi dengan sayur-sayuran buah-buahan, minyak sihat, makanan laut, kekacang dan bijian.

Terdapat bukti kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan bahan anti keradangan membantu mengurangkan masalah sakit sendi disamping itu ia juga sangat baik mengawal tekanan darah tinggi, mengurangkan risiko strok, sakit jantung, kanser, diabetes dan membantu mengawal berat badan.

Ikan dan makanan laut

Saranan oleh The American Heart Association (AHA) dan Academy of Nutrition and Dietetics adalah pengambilan hidangan ikan sekurang-kurangnya 2 hidangan seminggu. Untuk masalah sakit sendi pengambilan yang lebih kerap adalah digalakkan. Ini adalah kerana ikan dan makanan laut mengandungi asid lemak omega 3 yang merupakan bahan anti keradangan.

Kajian yang melibatkan 727 wanita selepas putus haid yang diterbitkan oleh Journal of Nutrition pada tahun 2004 menunjukkan peserta kajian yang makan paling banyak ikan mempunyai paras protin keradangan iaitu C-reaktif protin dan interleukin-6 yang paling rendah.

Kajian terbaru pula menunjukkan pengambilan suplemen minyak ikan mengurangkan bengkak sendi dan kesakitan disamping tempoh kekejangan sendi waktu pagi dan pergerakan sendi menjadi lebih baik dikalangan pesakit radang sendi rheumatoid. Kajian menunjukkan pengambilan suplemen minyak ikan 600mg hingga 1000mg setiap hari mampu mengurangkan masalah kekejangan sendi, bengkak dan sakit sendi bagi pesakit osteoarthritis.

Kekacang dan bijian

Kajian menunjukkan makan kekacang atau bijian segenggam sehari boleh membantu mengurangkan keradangan sendi. Terdapat banyak kajian telah menunjukkan ia mengandungi bahan anti keradangan yang sangat baik untuk mengurangkan keradangan. Salah satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2011 menunjukkan dalam tempoh 15 tahun lelaki dan wanita yang mengambil kekacang dan bijian yang paling banyak mempunyai risiko 51% lebih rendah mengalami kematian akibat penyakit keradangan seperti rheumatoid berbanding dengan kumpulan yang paling kurang makan kekacang dan bijian. Kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal Circulation pada tahun 2001 menunjukkan seseorang yang paling rendah paras vitamin B6 yang paling tinggi kandungan didalam kekacang mempunyai paras penanda keradangan yang paling tinggi. Kekacang mengandungi bahan anti keradangan iaitu asid lemak monotaktepu omega 9 (asid oleik) dan serat, protin dan vitamin B yang tinggi.

Kekacang seperti kacang kuda, kacang dhal, kacang gajus, almond, pistachio, walnut, macademia, kacang hijau, kacang merah, kacang ginjal sangat tinggi dengan serat dan bahan fitonutrien yang sangat baik untuk kesihatan dan membantu mengawal berat badan. Kekacang adalah sumber makanan yang murah dan amat mudah didapati dan boleh diamalkan selalu. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam The Journal of Food Composition and Analysis tahun 2012, ahli sains telah mengkaji kandungan nutrien didalam pelbagai jenis kekacang dan mendapati kesemuanya mempunyai kandungan nutrien yang sangat baik yang kaya dengan pelbagai jenis anti oksidan dan anti keradangan.

Sayur-sayuran dan buah-buahan

Amalan makan sayur-sayuran dan buah-buahan secara kerap setiap hari sekurang-kurangnya 10 hidangan sehari sangat baik mengurangkan masalah keradangan sendi. Ia mengandungi bahan anti oksidan dan anti inflammatori atau anti keradangan yang tinggi. Bahan anti oksidan akan melindungi sel-sel daripada kerosakkan akibat serangan radikal bebas yang boleh merosakkan sendi. Sayur-sayuran jenis yang berdaun hijau, berwarna terang dan ungu amat baik untuk melawan keradangan sendi ini.

Bahan anti keradangan seperti anthosianin dan kaya dalam buah-buahan ceri, buah berwarna merah dan ungu membantu mengurangkan keradangan sendi. Buah jenis sitrus seperti limau, lemon, oren dan sebagainya juga mengandungi vitamin C yang tinggi disamping serat dan vitamin yang lain yang membantu kesihatan sendi. Sayuran jenis kubis, brokoli, bayam, salad dan sebagainy
a mengandungi vitamin K yang tinggi yang juga merupakan bahan anti keradangan.

Minyak zaitun dan minyak sihat

Minyak yang sihat seperti minyak zaitun mempunyai asid lemak mono tak tepu (asid oleik) dan bahan anti oksidan hidroksi tirosol, oleocanthal yang mempunyai aktiviti anti keradangan seperti ubat anti keradangan jenis ibuprofen (NSAIDS) dengan menghalang enzim COX. Ia mengurangkan keradangan sendi dan mengurangkan rasa sakit sendi akibat keradangan. Ia patut diamalkan oleh seseorang yang mempunyai masalah radang sendi setiap hari. Minyak zaitun yang paling baik dan perlu diambil secara terus tanpa di panaskan adalah jenis ‘extra virgin’ atau pati minyak zaitun.

Minyak sihat lain yang bersifat anti keradangan adalah minyak kelapa dara dan minyak kelapa sawit merah. Minyak kelapa mengandungi asid lemak tepu rantaian sederhana iaitu asid laurik yang merupakan bahan anti keradangan. Minyak kelapa sawit merah pula mengandungi vitamin E dan beta karotin yang sangat tinggi yang merupakan bahan anti keradangan juga. Yang lebih utama adalah kedua-dua minyak kelapa dan minyak kelapa sawit sangat stabil pada suhu tinggi dan boleh digunakan untuk memasak.

Kekeliruan sering timbul dalam masyarakat kita kerana menyangka semua masalah radang sendi adalah penyakit gout. Oleh itu ramai yang ber’pantang’ makan makanan yang saya sarankan di atas sedangkan bukan semua penyakit radang sendi itu gout.

Gout adalah masalah peningkatan paras asid urik dalam darah yang menyebabkan garam asid urik berkumpul dalam sendi yang menyebabkan keradangan sendi tersebut. Bagi pesakit gout punca utama adalah kerana kerosakan sistem enzim ‘xanthine oxidase’ yang berpunca daripada pengambilan fruktosa yang tinggi. Jika seseorang telah mengidap masalah gout maka mereka dinasihatkan mengawal pengambilan makanan dengan paras purina yang tinggi seperti udang, sotong, kekacang, daging dan sebagainya kerana asas kepada asid urik adalah bahan purina.

Tetapi bagi pengidap masalah sendi yang lain seperti osteoarthritis dan rheumatoid maka mereka tidak perlu pantang makanan tersebut. Kenal pasti masalah radang sendi anda dahulu sebelum berpantang kerana kebanyakan makanan yang boleh mengurangkan gejala sakit sendi adalah makanan yang selalu di elakkan oleh pesakit radang sendi akibat salah faham dan keliru.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE
PERDIM, Melaka


***jika anda berminat menjadi ahli shaklee atau inginkan penerangan lebih lanjut, atau ingin membeli anda boleh hubungi saya melalui :_


UMMI ZUBARI
SID 892671
013-8342092
 
atau, jika anda berminat untuk berjumpa atau mendapatkan produk shaklee ini, saya adalah pengedar aktif shaklee di BINTULU, SARAWAK….POS SELURUH MALAYSIA, BRUNEI, SINGAPORE….

No comments:

Post a Comment