Bagi ibu hamil, kesempatan menyambut hari raya sementara menanti detik melahirkan sangat-sangat dihargai. Apa tidaknya, sebelum melalui tempoh berpantang yang panjang dan membosankan, inilah masa ibu berpeluang makan apa saja juadah hari raya. Kononnya bila berpantang nanti, tak boleh makan sembarangan.

Namun, begitu ibu hamil perlu berjaga-jaga dengan apa yang diambil bimbang akan mempengaruhi kesihatan terutamanya jika ibu hamil ada penyakit darah tinggi atau kencing manis.

Jadi, ibu tak boleh suka-suka telan menu yang ada depan mata, sila disiplin ikut panduan ini...

1. Makan buah-buahan terlebih dahulu
Seeloknya makan buah-buahan seperti limau, epal hijau, kiwi dan sayuran seperti salad, sebelum menikmati juadah berat pada hari raya. Ini membantu memudahkan proses penghadaman.

2. Minum air suam atau jus buah-buahan
Elak daripada mengambil kopi dan teh, malah semua jenis minuman berkarbonat mengandungi kafein. Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya minumlah air suam atau jus buah-buahan. Lebih baik, ambil suplemen soy lecithin sebelum makan makanan berlemak. Ia berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar.

3. Elak kudapan pada hari raya
Kerepek atau kudapan makanan perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi. Makanan yang digoreng boleh menyebabkan badan dipenuhi toksin. Sebagai penyelesaiannya disarankan mengambil bahan anti oksida seperti vitamin A,C dan E. Jika suka makan kacang, makanlah kacang parang atau kacang kuda kerana ia mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi. Cari kacang yang panggang, jangan pilih yang digoreng.

4. Elak mengambil protein bercampur
Jangan makan protein sekali gus. Sebagai contoh makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa. Ini kerana usus akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan. Protein dari daging, sotong dan ayam ini akan menjadi toksin dan akan menyebabkan penyakit migrain dan masalah-masalah lain jika tidak dibuang.

5. Risiko makan banyak
Antara risiko adalah sembelit. Jika masalah ini berlaku boleh menimbulkan masalah buasir. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan masalah penghadaman. Ia akan memudaratkan ibu mengandung seterusnya bayi dalam kandungan.

6. Makan ikut piramid makanan
Kumpulan makanan yang penting untuk ibu hamil ialah karbohidrat (beras perang, roti penuh gandum), protein (telur, daging dan ikan) dan lemak (minyak zaitun dan minyak bunga matahari).


Paling utama, ibu kena tahu yang istilah makan untuk dua orang tidak benar. Ibu hamil tidak mestinya makan banyak kerana kalori tambahan yang diperlukan sebanyak 300 kalori berbanding pemakanan orang biasa. Utamakan kualiti bukan kuantiti!