Cuaca hari ini akan membuatkan ibu hamil lebih memilih untuk minum air yang banyak berbanding makan nasi. Percaya atu tidak, jika anda pandai pilih air, minuman juga membantu dalam perkembangan janin dalam kandungan.
 
Antara minuman yang menyihatkan semasa hamil yang ibu boleh diamalkan ialah...
 
1. Air kelapa
Sejenis minuman isotonik semula jadi, air ini membantu mengelakkan dehidrasi. Mampu melegakan keletihan dengan mengembalikan garam semula jadi dalam badan yang hilang apabila ibu berpeluh. Pilihan sihat untuk melegakan dahaga ketika mengandung. 
 
2. Lemon
Jus limau atau lemon mengekalkan hidrasi badan dan membekalkan vitamin C yang membantu badan ibu menyerap zat besi dengan lebih berkesan. Jika ibu mengalami mabuk hamil, jus limau atau lemon dengan daun pudina serta halia boleh menjadi minuman alternatif yang lazat. 
 
3. Jus segar 
Minuman jenis limau manis, oren, nanas, tembikai dan tembikai wangi (Rock Melon) sesuai untuk cuaca panas. Jika ibu minum jus segar yang baru diperah, ia penuh dengan semua nutrien daripada buahnya. Jika ibu membeli jus dari kedai, pastikan ia mempunyai label 100 peratus  jus. Jika tidak, minuman itu mungkin mengandungi gula tambahan dan perisa tiruan.
 
4. Susu 
Dalam cuaca panas, susu skim sejuk, lasi dan susu mentega sesuai untuk menyegarkan dan mengekalkan hidrasi badan. Susu kocak atau "smoothie" buah-buahan yang dibuat menggunakan susu, dadih, ais dan buah-buahan penuh dengan mineral dan nutrien. Semua ini menghidratkan badan ibu. Nikmatinya bersama makanan ringan yang sihat di antara waktu makan. 
 
5. Buah-buahan
Khasiat buah dipercayai mendinginkan badan, menghidratkan dan membantu ibu-ibu mengandung menangani mabuk hamil. Buah yang sesuai termasuklah strawberi, laici, nanas dan limau. 
 
6. Jus sayur buatan sendiri
Ibu yang mempunyai masalah untuk mendapatkan sayuran yang mencukupi dalam diet seharian, boleh mencuba minum jus sayur-sayuran. Kalau waktu siang jus sayur-sayuran sejuk memang lazat dan menyegarkan serta memberikan nutrien yang diperlukan ibu hamil.
 
7. Air dengan buah-buahan beku
Ibu boleh menjadikan segelas air kosong lebih menyegarkan dengan menambah buah-buahan beku seperti oren, lemon, kiwi, pic, aprikot dan plum. Buah beku ini akan kelihatan berwarna-warni terapung-apung di dalam air dan kelihatan sangat menarik. 
 
8. Teh Ais
Hirisan lemon yang ditambah pada teh ais juga boleh melegakan wanita mabuk hamil. Namun begitu, perlu diingat bahawa teh mengandungi kafein, jadi sila berpada-pada bila mula minum.